Aku membawa bapa mertua menuju ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Sampai di sana pukul 11.30 pagi. Aku terus ke wad yang menempatkan isteri serta anak aku. Tak dapat rasanya menahan sebak berjumpa semula dengan isteri aku. Dia mulai menangis sambil menyatakan keperitan dan kesakitan untuk melahirkan anak pertama ni. Aku terus memujuk dan memujuk supaya dia bersabar. Tak lama kemudian, seorang nurse membawa anak aku untuk ditunjukkan kepada aku dan bapa mertua. Alahai anak aku, comel, montel dan hitam lebat rambut dia.
Petang itu juga aku dapat membawa balik isteri dan anak aku ke Bukit Besi. Alhamdulillah. Beberapa hari berlalu, ternampak sedikit tanda penyakit kuning mahu mennyerang. Mak mertua aku ikhtiar mencari susu kambing. Aku membawa mak ke sebuah rumah jiran yang ada membela kambing di kampung tersebut. Maka dapatlah sedikit susu kambing asli dan setelah dimasak sedikit, susu itu diberikan terus kapada anak aku. Esoknnya pennyakit kuning dia terus hilang. Aku dan isteri berasa lega. Sekurang-kurangnya anak tidak ditahan di wad dan diletakkan di dalam inkubator warna ungu tu.
Apabila sudah sampai masa, aku dapat membawa isteri dan anak pulang ke Melaka. Orang Melaka pula menyambut kelahiran baru ini. Aku membawa ke rumah mak aku. Semua gembira dengan kedatangan orang pertama dalam keluarga aku.
No comments:
Post a Comment