Sebuah Catatan Pengembaraan Hidup. Mencari Redha Dalam Realiti Kehidupan. Mengutip Pengalaman Di Sepanjang Liku Perjalanan. Buat Bekalan Mengadap Tuhan.


Tangisan Membelah Dinihari

Bunyi jantung bayi jelas kedengaran. Dr. Alias mengarahkan isteri aku meneran mengikut step yang telah ditentukan. Semakin lama keadaan semakin mendebarkan. Isteri aku terus berusaha. Yang anehnya, dia macam ok je dan bukan macam sedang melahirkan bayi. Ulfah yang berkaki ayam sekejap-sekejap masuk ke kamar bersalin hinggakan nurse mengarahkan aku supaya menjaganya. Akhirnya seorang nurse volunteer untuk bercakap-cakap dengan dia di luar bilik bersalin. Maka aku berpeluang masuk untuk melihat situasi seterusnya. Setelah beberapa minit berlalu, maka terpancullah kepala bayi dan Dr. Alias memainkan peranannya menyambut bayi tersebut lalu diletakkan bayi tersebut di atas perut isteri aku dan dipam udara ke dalam mulut dan telinga anak ini. Gaya profesionalnya terserlah. Maka terbitlah suara tangisan bayi kecil membelah dinihari. Seingat aku ketika itu pukul 4.45 pagi. "Sayang, selamat datang ke alam dunia" kata-kata itu terbit dalam hati. Setelah pusat bayi dipotong, bayi yang masih berwarna ungu itu ditunjukkan kepada isteri aku.



*Baru lepas minum susu, so don't cry.

"Ini bayi awak. Dia lelaki. Cukup sifat. Cuma ada tanda lahir di kaki kanannya" ringkas dan padat info Dr. Alias. Isteri aku hanya mampu mengangguk. Kesian dia. Bertarung nyawa melahirkan bayi ini. Meredah segala kepayahan dengan tabah sejak mula mengandung hingga waktu kelahiran. Wajah dia sedikit lega walaupun sakitnya masih terasa. Bayi dibersihkan dari kesan darah dan air ketuban dan dibalut dengan cermat. Selepas itu aku mengambil peranan. Sambil mengadap kiblat:

Allhuakbar! Allahuakbar!
Allhuakbar! Allahuakbar!
Ashadu allailaha illallah!
Ashadu allailaha illallah!
Ashadu anna muhammadarasulullah!
Ashadu anna muhammadarasulullah!
Hanyallas solah! Hanyallas solah!
Hanyallal falah! Hanyallal falah!
Allhuakbar! Allahuakbar!
Laillaha illallah!

Alhamdulillah, seorang lagi hamba Allah telah didatangkan khas untuk diuji di pentas dunia.

Berjalan Sendiri

Aku memecut kereta bagaikan Felippe Massa : ikon Formula One mengejar masa saringan. Tak dapat aku bayangkan kalau terjadi apa-apa pada kami. Yang aku mahu ialah cepat sampai ke hospital. Maka dengan rasa darurat aku meredah beberapa lampu traffic light yang merah di sepanjang laluan ke hospital. Mujurlah tak banyak kereta yang berada di jalan raya pada ketika itu. Dan juga mujurlah anak ini lahir pada dinihari. Bayangkan kalau ia mahu keluar waktu tengahari. Memang akan jadi kelam kabut di mana jalan raya memang sesak waktu itu. Alhamdulillah, Allah beri kemudahan.

Aku terus parking depan pintu masuk hospital. Isteri aku terus keluar dan menuju ke kaunter ruang kecemasan. Bayangkan, walaupun dah hampir waktu bersalin, dia masih boleh berjalan sendiri tanpa bantuan kerusi roda. Aku masih di kereta. Mencari-cari selipar Ulfah dalam kegelapan. Baru aku teringat aku terlupa ambil selipar anak ini. Aduh, masalah betul. Tiba-tiba Ulfah terjaga.

"Ayah, kita kat mana ni" dia bertanya.
"Kita kat Hospital Pantai sayang. Umi dah nak bersalin. Kejap lagi Ulfah akan dapat adik" aku berkata penuh semangat padanya.
"Yeye, kejap lagi Ulfah dapat adik, yeye" dia kelihatan riang dan mengantuk terus hilang darinya.

Aku terus mendukung Ulfah. Isteri aku dah dibawa dengan kerusi roda terus ke bilik persalinan. Aku terus menuju ke sana. Dr. Alias telah dihubungi oleh jururawat bertugas. Sepantas kilat dia dah terpancul di bilik persalinan. Laju benar dia muncul padahal dia berada di rumah ketika itu. Sebagaimana dia appear dengan laju, sepantas itu juga dia mengarahkan pelbagai persediaan dilakukan untuk menyambut kelahiran bayi. Isteri aku mulai risau. Takut dan sakit terus berbaur dalam benaknya. Dia mengambil tempat. Aku dibenarkan masuk untuk melihat proses kelahiran. Bagi aku inilah peluang untuk melihat sendiri anak kedua lahir sebab kelahiran pertama sebelum ini aku tak berpeluang.

Kehadiran Penambah Seri

Tanggal 25 Jan 07 bersamaan dengan hari Khamis merupakan hari keramat buat aku. Mata ini tidak dapat tidur lena tatkala perut isteri sedang menanti saat untuk kempis semula. Aku awal-awal lagi sudah mempersiapkan beberapa nama yang unik dan sesuai bagi anak ini. Sayang, ayah dan umi dah catit dalam diari minda kami nama yang sesuai buat kamu. Sebulan sebelumnya:

1) Arif Hanzalah 2) Arif Azhad

Hanya dua nama ini saja yang menjadi pilihan hati. Entah mengapa hati kami tidak tergerak untuk memilih nama bagi anak perempuan. Barangkali kami telah dikurniai dengan puteri sulung, maka untuk kelahiran kedua ini bagaikan sudah pasti bayi lelaki. Kelengkapan bayi sudah disediakan. Hanya menanti tangisan pertama membelah udara dunia. Kami masuk ke kamar pukul 12 tengah malam. Ulfah telah lama dibuai mimpi. Barangkali penat berkata-kata kepada bakal adiknya yang masih bersembunyi di bawah lapisan kulit uminya. Kesian dia, lama rasanya dia menunggu untuk mendapat seorang kawan yang boleh diajak bermain, belajar, bermanja dan bermesra. Aku melabuhkan badan. Terasa sengal seluruh tubuh tapi masih mampu menitipkan sebaris dua doa agar dirahmati selalu olehNya.

Aku tersentak dari tidur serentak dengan isteri menekan perut sambil mengerang kecil. Sakit perutnya bukan seperti selalu. Aku lihat jam di dinding menunjukkan pukul 3 pagi. Kenapa diri ini rasa berdebar. Sebentar sakit dia hilang, sebentar kemudian ianya datang semula. Sah ! Sudah sah bayi ini tidak mahu lagi bergelumang di dalam air ketuban. Sudah sah bayi ini mahu keluar kerana tanda-tanda lahir sudah jelas kelihatan. Aku lantas menyediakan segala keperluan. Pantas tangan ini mencapai barang-barang yang diperlukan. "Dah lah tu bang, start enjin kereta. Kita pergi sekarang. Tak tertahan rasanya sakit ni" suara isteri aku agak tinggi kerana bertarung dengan contraction. Aku lantas menghidupkan enjin kereta. Ulfah yang masih bermimpi bermain dengan bakal adiknya kuletakkan di bahagian tempat duduk penumpang. Dia tak bergerak walau sedikit. Mimpi terus bersambung.

Kedinginan dinihari mencengkam tubuh. Samar-samar sebuah kereta wira aeroback keluar dari Taman Tasik Utama menuju Hospital Pantai.

Sekapur Sirih


Assalamualaikum...w.b.t....

Catatan harian yang menceritakan tentang diri ini, isteri, anak-anak dan keluarga. Suka duka riang tangis dan tawa semuanya berkumpul menjadi satu epilog bersejarah yang dirungkaikan dalam arena siber. Hati ini tidak mengharapkan apa, cuma sekadar anak-anak dan orang tersayang dapat merasai realiti kehidupan dunia.

Hayatilah kisah ini sebagai tatapan harian. Mungkin ada yang bermanfaat dan ada juga yang boleh dijadikan sempadan. Harapan cuma satu agar hati ini tabah menghadapi ranjau penuh liku di alam dunia sebelum dijemput menghuni alam satu lagi.

Kadangkala catatan ini dilakarkan sambil diiringi dengan manik-manik halus yang keluar dari kelopak mata kerana dek kepayahan dalam menempuh ujianNya dan adakala senyuman yang manis terukir di bibir tatkala hati disimbahi rahmat serta berjaya melabuhkan tirai kejayaan mengikut masa yang telah ditetapkan olehNya. Syukur, diri ini masih gagah dan takkan rebah sebelum masanya.