Sebuah Catatan Pengembaraan Hidup. Mencari Redha Dalam Realiti Kehidupan. Mengutip Pengalaman Di Sepanjang Liku Perjalanan. Buat Bekalan Mengadap Tuhan.


Kehadiran Penambah Seri

Tanggal 25 Jan 07 bersamaan dengan hari Khamis merupakan hari keramat buat aku. Mata ini tidak dapat tidur lena tatkala perut isteri sedang menanti saat untuk kempis semula. Aku awal-awal lagi sudah mempersiapkan beberapa nama yang unik dan sesuai bagi anak ini. Sayang, ayah dan umi dah catit dalam diari minda kami nama yang sesuai buat kamu. Sebulan sebelumnya:

1) Arif Hanzalah 2) Arif Azhad

Hanya dua nama ini saja yang menjadi pilihan hati. Entah mengapa hati kami tidak tergerak untuk memilih nama bagi anak perempuan. Barangkali kami telah dikurniai dengan puteri sulung, maka untuk kelahiran kedua ini bagaikan sudah pasti bayi lelaki. Kelengkapan bayi sudah disediakan. Hanya menanti tangisan pertama membelah udara dunia. Kami masuk ke kamar pukul 12 tengah malam. Ulfah telah lama dibuai mimpi. Barangkali penat berkata-kata kepada bakal adiknya yang masih bersembunyi di bawah lapisan kulit uminya. Kesian dia, lama rasanya dia menunggu untuk mendapat seorang kawan yang boleh diajak bermain, belajar, bermanja dan bermesra. Aku melabuhkan badan. Terasa sengal seluruh tubuh tapi masih mampu menitipkan sebaris dua doa agar dirahmati selalu olehNya.

Aku tersentak dari tidur serentak dengan isteri menekan perut sambil mengerang kecil. Sakit perutnya bukan seperti selalu. Aku lihat jam di dinding menunjukkan pukul 3 pagi. Kenapa diri ini rasa berdebar. Sebentar sakit dia hilang, sebentar kemudian ianya datang semula. Sah ! Sudah sah bayi ini tidak mahu lagi bergelumang di dalam air ketuban. Sudah sah bayi ini mahu keluar kerana tanda-tanda lahir sudah jelas kelihatan. Aku lantas menyediakan segala keperluan. Pantas tangan ini mencapai barang-barang yang diperlukan. "Dah lah tu bang, start enjin kereta. Kita pergi sekarang. Tak tertahan rasanya sakit ni" suara isteri aku agak tinggi kerana bertarung dengan contraction. Aku lantas menghidupkan enjin kereta. Ulfah yang masih bermimpi bermain dengan bakal adiknya kuletakkan di bahagian tempat duduk penumpang. Dia tak bergerak walau sedikit. Mimpi terus bersambung.

Kedinginan dinihari mencengkam tubuh. Samar-samar sebuah kereta wira aeroback keluar dari Taman Tasik Utama menuju Hospital Pantai.

No comments:

Post a Comment